SUKAN REKREASI LUAR CABAR DIRI LEBIH BERANI
SUKAN REKREASI LUAR CABAR DIRI LEBIH BERANI
Oleh : Yusfadhila Yunus ( Unit Komunikasi Korporat, KBS )[email protected]
KUALA ROMPIN, 5 November 2012 – Seramai 22 orang peserta terdiri dari kakitangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS…
Full Description
SUKAN REKREASI LUAR CABAR DIRI LEBIH BERANI
Oleh : Yusfadhila Yunus ( Unit Komunikasi Korporat, KBS )
[email protected]
KUALA ROMPIN, 5 November 2012 – Seramai 22 orang peserta terdiri dari kakitangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS ) seluruh negara menghadiri Kursus Asas Rekreasi Luar, KBS di Kompleks Rakan Muda Sukan Air, Kuala Rompin, Pahang bagi mencabar keberanian dan ketahanan diri dalam aktiviti berbentuk sukan rekreasi.
Kursus selama empat hari bermula 2 hingga 5 November lalu anjuran Bahagian Pembangunan Sukan KBS bermatlamat untuk memberi pendedahan pengalaman dan pengurusan program rekreasi luar kepada para peserta.
Selaras dengan objektifnya untuk memberi pengetahuan, melatih dan memberi kemahiran, supaya para peserta dapat merasai dan menjiwai pengalaman aktiviti rekreasi luar yang membantu dalam pembangunan kerjaya di KBS.
Walaupun sukan rekreasi didefinasikan sebagai aktiviti pengisian waktu lapang bagi tujuan menikmati keseronokan dan santai, tetapi di dalam kursus ini kesemua aktiviti tetap memberi cabaran dan menguji tahap ketahanan fizikal dan mental terutama kepada para peserta yang baru pertama kali menyertai aktiviti sebegini.
Komponen utama kursus ini merangkumi teori dan praktikal perkhemahan yang memerlukan kesemua peserta berkhemah, pertolongan cemas (bantu mula), kayak, orienteering (kemudi arah menggunakan peta dan kompas), abseiling, flying fox, kembara malam, ikatan tali, pengurusan risiko keselamatan, kepimpinan dan konservasi alam. Kesemua aktiviti ini dipantau dan dijalankan oleh jurulatih-jurulatih profesional.
Antara aktiviti mencabar yang perlu dilalui adalah aktiviti kayak yang memberi pendedahan tentang skil kayuhan, ciri-ciri keselamatan dan bantuan kecemasan aktiviti air. Kembara malam iaitu perjalanan menyelurusi pantai dan hutan yang memerlukan para peserta berjalan 10 hingga 15 kilometer memakan masa antara tiga hingga lima jam pada waktu tengah malam sebelum ditinggalkan bersendirian bagi tempoh masa dan jarak tertentu bertujuan menguji keberanian.
Selain itu aktiviti abseiling dan flying fox juga turut menguji fizikal dan mental serta keyakinan para peserta untuk turun dari ketinggian yang ditetapkan menggunakan peralatan seperti kermantle (tali), carabiner (cangkuk besi) dan harness (abah-abah).
Pada masa yang sama, kesemua aktiviti sepanjang kursus ini juga memupuk semangat kerjasama, kesabaran demi mencapai kejayaan dan menyelesaikan kesemua aktiviti yang disediakan.
Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Pengurus Kompleks Rakan Muda Sukan Air Kuala Rompin, Wan Mahazani Wan Tahir. Hadir sama Penolong Pegawai Sukan selaku urus setia kursus, Christina Tiang Ting Ling dan Mohd Azemir Mustafa.
Disunting : Razali Haji Mohamed Yassin ( Unit Komunikasi Korporat KBS)